Sunday, January 15, 2012

Rumah Sewa

Assalamualaikum w.b.t. dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Kalau ditanya bilakah minggu yang paling aku letih dalam dua tahun kebelakangan ini. Sudah semestinya aku akan jawab minggu lepas tanpa berlengah-lengah lagi memikirkan minggu-minggu lain lagi. Tolak sekali Minggu Pengurusan Pelajar Baru. 

Hebatnya penangan masalah rumah sewa. Batch aku diberi amaran untuk keluar dari maktab bermula semester depan. Kalau dihitung dikira aku masih lagi mempunyai saki-baki tinggal selama enam bulan di asrama. Langsung tidak terdetik di hati aku untuk keluar asrama mecari kebebasan kalau tidak dipaksa sebegini.

Namun segalanya berubah seawal minggu kedua aku menghadiri kuliah. Semua rakan satu batch sibuk bercakap pasal hal rumah sewa. Sedangkan ketika berjalan pun boleh dengar kawan-kawan kos lain sibuk bertanya pasal rumah sewa juga.

Kepala yang sudah sedia ada kusut makin lagi kusut jadinya. Lumrah manusia adakalanya mengalami pasang surut kehidupan. Walaupun kampung halaman hampir mengalami banjir akibat musim tengkujuh namun jelas sekali ianya bertentangan dengan sinopsis persahabatan aku yang semakin hari semakin surut. *Metafora sungguh*. Mungkin tidak sesekali akan ku coretkan di sini tapi ketahuilah bahawa hanya Tuhan yang mengetahui gelora hati ini.

Makin kusut jadinya. Aku kini tinggal bertiga. Perjalanan bertiga untuk mencari rumah sewa ku rasakan agak payah. Kurang sorang makin sepilah jadinya. Kepala kami buntu. Bertambah lagi kemaslahan bila aku bukak mulut je pada Mama. Aku ingatkan tindakan aku yang konon-kononnya mahu mendapatkan khidmat kaunseling secara percuma berkesan. Lain pula jadinya bila Mama memberi respon dengan tazkirah panjang kerisauan beliau jika aku tinggal bertiga cuma. Arghhh. Kurasakan malam itu ibarat ada halilintar yang menyerang di segenap kotak pemikiran.

Di satu sudut kelas, banyak senyuman yang timbul. Sudah terpancar wajah-wajah yang sudah berjaya menemui rumah sewa idaman yang berdekatan sekali dengan promosi 'fully furnished'. Ada juga wajah yang masih masam menekan-nekan butang talifon bimbit menaip mesej ringkas barangkali bertanya rumah sewa sejurus sahaja mencari iklan-iklan di Mudah.my. Aku pula? Hanya membiarkan kerenah mereka dengan satu perasaan ingin berlari ke bilik mendail pemilik-pemilik rumah sewa yang telah di bookmark semalam untuk 'membooking' rumah mereka. Sungguh besar isu rumah sewa ni.

Aku bersama bersama dua lagi mereka bersusah payah petang itu. Seorang tekun menghadap skrin di Komuniti Bangi mencari iklan-iklan yang bersesuian. Seorang lagi sanggup mensponsor kredit asalkan bukan beliau yang menjadi operator pertanyaan. Aku pula paling malanglah kerana akan menjadi suara yang bertanya.

Banyak yang kami cari, namun masih gagal. Bak kata A'isyah Humaira dalam status Facebook nya, mungkin rumah sewa itu masih lagi tersimpan kemas dalam rahsia Allah. Petang itu setelah penat melakukan operasi mencari, kami akhirnya tertido secara sengaja.

Aku ingat aku sorang yang termimpikan rumah sewa. Nida turut menyatakan perasaan yang sama. Habislah kali ni, jikalau rumah sewa masih belum dijumpai aku rasakan aku akan terus dibelenggu.

Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum itu jika mereka tidak berusaha mengubah nasib mereka sendiri. Akhirnya setelah berkali-kali mencuba. Kami telah menjumpai sebuah rumah yang dikira sangat bersesuaian dengan apa yang kami cari. Ibarat menyorangkan bantal kepada orang yang sedang mengantuk. Kami temui sebuah rumah tiga bilik, dua bilik air, FULLY FURNISHED, dan berdekatan dengan maktab iaitu di Seksyen 1 Bandar Baru Bangi kira-kira 8 minit perjalanan menaiki kereta.

Rasa syukur sudah terzahir daripada pancaran muka setiap daripada kami. Namun, masih ada yang dirisaukan. Kalau boleh kami mengharapkan kami mempunyai sekurang-sekurangnya tambahan ahli rumah sewa disebabkan sewanya. RM 500 bukan lah terlalu mahal untuk ciri-ciri rumah yang kami jumpai itu. Tetapi rasanya agak berat untuk menampung seramai tiga orang kepala sahaja. Mana lagi bil air, bil internet untuk mengupdate blog, bil minyak lagi. :)

Dengan bersusah payah akhirnya Allah temukan aku dengan dua rakan lain yang sudi ingin tinggal bersama. Che Tini dan Syaza. Aku tahu aku bukan lah pilihan rakan serumah yang menjadi pilihan. Namun, dengan lafaz Insya Allah aku berjanji akan sedaya uapaya menjadi seorang rakan serumah yang baik kepada mereka.
Saat mereka sudi menerima lamaran menjadi rakan serumah kami, aku kira satu beban memikul satu batu besar di bahuku sudah terlucut. Kami lafazkan kalimah Alhamdullilah.

Dalam kelegaan mendapat rumah sewa, kami diberitahu pula kami tidak perlu lagi keluar ke rumah sewa kerana pengambilan lepasan SPM tahun ini tidak lagi diambil dan asrama akan tetap kosong sehingga lah ke tahun hadapan. Ya Allah, kepala terasa ingin pecah kembali.

Sekarang, aku dan rakan-rakan mengambil langkah termudah dengan hanya redha. Namun sudah terpahat dalam hati aku mengatakan pelbagai perkara yang telah aku pelajari daripada peristiwa ini. Betapa lemahnya iman aku sehinggakan hati ini mudah sahaja tersentuh dengan pelbagai ragam rakan-rakan. Aku juga semakin mengenali diri sendiri. Ternyata diri aku penuh dengan seribu satu kelemahan menyebabkan ramai yang tidak ingin tinggal sekali. Ya Allah. :)

Apa yang paling penting, aku pelajari memanfaatkan Hadis yang baru sahaja aku temui dalam nota Nisa yang berbunyi:

" Jangan menunjukkan kegembiraanmu dalam kesusahan saudaramu, maka Allah akan menyembuhkan (menyelamatkannya) dan membalas ujian pada mu. "

Hadis Riwayat Tarmizi
Riyadhushuh Salihin 2 : 450

Melalui Hadis ini sahaja, aku rasa malu dengan diri aku. Terkadang kita leka tersenyum mengenang kesusahan orang lain dek kerana kesenangan kita yang tak menimpa nasib seperti orang lain. Mungkin itulah sebab utama aku menulis post ini yang ingin mengingatkan diri aku. Terus terang aku nyatakan aku terkadang terkecil hati dengan mereka yang tersenyum dengan kesusahan diri ini. Mungkin mereka tidak berniat barangkali atau aku yang terlalu sensitif.

P/s: Post ini ditulis semata untuk mengenang minggu paling susah dalam minggu-minggu  kesusahan  hidup. Tidak berniat untuk mengecilkan mana-mana pihak. Malah mungkin menjadi entry paling poyo yang pernah aku tulis kerana skema giler. HAHA.

Thanxs for reading this entry :)






No comments:

Post a Comment