Saturday, March 3, 2012

Ibrah Melalui Sirah Oleh Ustaz Zamri Zainal Abidin

Assalamualaikum w.b.t dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Pada hari Selasa yang lalu, batch aku, pelajar semester 3 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ambilan Januari 2011 telah selamat mengadakan seminar Sirah sempena subjek Pendidikan Sirah Sekolah Rendah PIM 3106. Kalau batch senior lepas diorang pergi buat lawatan ke Taman Tamadun Islam, kami pulak kenalah redha dengan belanjawan tahun ni kerana maybe maktab tak cukup nak support lima kelas pergi lawatan. Senior dulu ade dua je kelas agama. Ehem. Redho. =)

Tapi, aku tak kisah pun walaupun kami tak ke mana. Aku rasa hari seminar tu bes sangat. Maklum lah, balas dendam sikit kat maktab dengan jemput penceramah bes-bes sikit. HIHI. Seminar kami hari tu ada tiga orang penceramah hebat, tapi dalam part one ni aku nak muatkan input dari penceramah pertama iaitu Ustaz Zamri Zainal Abidin dari radio IKIM. Subhanallah. Hebat ustaz ni. 




Tema seminar Sirah ni ialah "Rasulullah: Hadirmu Membawa Cahaya, Pergimu Meninggalkan Permata." Tajuk slot yang dibentangkan Ustaz Zambri pula ialah Ibrah Melalui Sirah. 


Penyampaian ustaz yang formal tapi tak bosan. :)

Aku sebenarnye duk fikir berkali-kali nak tulis entry ni. Takut tersilap penulisan lain jadinya. Tapi kat sini aku cube tuliskan antara yang aku dapat dari ceramah ustaz.

Ustaz memulakan ceramah dengan perkenalkan biografi diri beliau. Ustaz rupenye orang Pasir Putih. Berlatar belakangkan pendidikan dari aliran bukan agama semenjak dari sekolah menengah, ustaz akhirnya berhenti dari universiti dan  mengulang semula SPM beliau semata-mata untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama. Mase ni ustaz ada bagi motivasi bagi orang yang mahu belajar dan rase terlambat untuk mula belajar. Selain bagi contoh diri sendiri, ustaz jugak ceritakan kisah Imam Abu Hanifah yang mula belajar pada usia  40 tahun. 

Teknik mengkaji Sirah yang terpenting ialah melalui Surah Al Ahzab ayat 21 marhumnya:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

Mengapa kita perlu menyanjung, mengangkat, memuji, mempraktikkan segala berkaitan Nabi Muhammad S.A.W tidak lain tidak bukan adalah kerana baginda telah mendapat pengiktirafan jelas sejelasnya daripada Allah S.W.T di dalam surah ayat 21 Surah Al Ahzab itu tadi. 

Kata kunci ayat tersebut terletak dalam kalimah 'pada diri Rasulullah' ataupun didalam al-Quran disebutkan fi Rasulullah yang meliputi keseluruhan peribadi mulia baginda serta kehidupan baginda. Hal ini merupakan pengiktirafan khusus untuk Sirah dan ada nilai untuk ditafsirkan berbanding dengan cerita-cerita yang lain. 

Kesan Sirah Rasulullah:

- Ilmu pertama yang dibincang. Hal ini kerana, dalam menetapkan sesuatu hukum pun, kita mesti berbalik kepada ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah melalui al-Quran dan Hadis.

- Melihat kedudukan sebenar sesuatu hukum berdasarkan ayat-ayat al-Quran. Misalnya asbabun nuzul ayat dalam al-Quran. Semuanya mesti terlihat akan peristiwa yang berlaku yang menjadi punca turunnya ayat dalam al-Quran. Contoh yang paling mudah: kisah para sahabat mencari rantai Saidatina Aisyah yang hilang di padang pasir sehingga masuknya waktu solat dan ketiadaan air menjadi asbab dan hukum bertayamum.

- Memahami maksud sebenar kata-kata Rasulullah tentang sesuatu perkara. Misalnya Asbabun Wurud. Contohnya Rasulullah melarang umat Islam memakai pakaian yang labuh sehingga melebihi buku lali. Dan dikatakan ianya haram bagi umat Islam untuk memakai pakaian sedemikian rupa ketika di zaman baginda.

 Namun, apakah kita pada hari ini yang memakai kain atau pun seluar baik lelaki mahupun wanita masih dikira haram memakai pakaian yang melebihi paras buku lali? Jawapannya ialah tidak sama sekali kerana pada waktu itu Rasulullah mengharamkan pemakaian sebegitu kerana menyerupai sikap pembesar Yahudi yang semakin labuh kain melambangkan semakin kaya dan semakin sombongnya mereka. Oleh itu, nabi melarang umat Islam menyamai mereka. Di zaman kita ini berbeza kerana niat kita memakai pakaian yang labuh bukan untuk bongkak dan menunjukkan kekayaan. 

Maksud Sirah:

Perlakuan, kebiasaan, tindakan Rasulullah. 

Antara kebiasaan Rasulullah yang diceritakan dalam slot ini ialah cara bagaimana Rasulullah bergurau senda:

Ada seorang sahabat yang buta bernama Abdullah bin Maktub. Diceritakan Abdullah bin Maktub ini sangat suka untuk bertanya kepada Rasulullah. Ketika Rasulullah menceritakan perihal syurga, Abdullah bin Maktub pun bertanya lah serba serbi kerana mungkin kerana buta perasaan ingin tahu beliau lebih membuak-buak daripada sahabat yang lain. Namun, Rasulullah menjawab bahawa orang yang buta tidak masuk syurga. Lalu, bersedih hatilah Abdullah mendengarnya. Rasulullah kemudiannya tertawa melihat reaksi Abdullah lantas mengatakan bahawa orang buta tidak masuk syurga kerana di dalam syurga memang tidak akan ada orang yang buta. Yang buat semuanya akan menjadi sempurna dan celik. Bergembiralah Abdullah bin Maktub. 

Sweetkan Rasulullah? Walaupun bergurau namun gurau baginda adalah gurau yang benar =)


Ustaz Zambri mengatakan ada sesentengah golongan yang memperlekehkan kemaksumam Rasulullah kerana tenyata Rasulullah juga insan biasa yang pernah melakukan kesalahan. Namun begitu, keterangan ini ternyata sekali boleh disangkal. Maksum Rasulullah adalah maksum mutlak. Itu ialah pasti. 

Misalnya, ada diceritakan di dalam al-Quran (lupa ayatnya) bagaimana Allah menegur cara Rasulullah berkomunikasi dengan orang kafir dan orang Islam. Pada masa itu, Rasulullah yang sedang berbual dengan Abu Jahal tidak terus menerus melayani kedatangan seorang mukmin yang baru memeluk Islam yang datang untuk bertanya dengan baginda. 

Namun, kita dapat lihat bahawa setiap perbuatan yang Rasulullah lakukan itu terkandung hikmah di dalamnya. Rasulullah sebenarnya mahu melindungi mukmin tersebut iaitu jika tidak salah saya (err, gune saya plak. hehe) Abdullah bin Maktub seorang yang buta itu tadi yang baru sahaja memeluk Islam. Abdullah yang buta sama sekali nampak akan kehadiran Abu Jahal bersama Rasulullah. Sebaliknya, Rasulullah tidak terus melayani pertanyaan Abdullah kerana takut Abu Jahal akan mengetahui bahawa Abdullah telah pun memeluk Islam. Sekiranya diketahui tentu sahaja Abu Jahal akan menyeksa Abdullah. 

Hujah kedua selain terkandung hikmah dalam perbuatan, perbuatan Rasulullah tersebut juga adalah perbuatan di mana syariat untuk melayani mukmin sebelum orang kafir dalam pergaulan dan komunikasi belum lagi disyariatkan oleh Allah. Selepas diturunkan wahyu, Rasulullah tidak lagi mengulangi perbuatan yang sama. Oleh sebab itu, tidak lah menjadi salah dalam perlakuan baginda dan tiada apa yang boleh dipersoalkan lagi dalam menentukan kemasksumam baginda. 


Maksud Sunnah:

- Tindak tanduk Rasulullah yang membawa kepada aplikasi hukum.

- Intipati pengajaran atau maksud kepada sesuatu tindakan.

* Dalam erti kata lain, semua Sunnah itu Sirah, tetapi tidak semua Sirah itu Sunnah.* 

Bentuk-bentuk Sunnah:

- Hadith Fi`li. Misalnya Imam Shafei mengambil ijtihad membuat hukum wuduk menjadi 3 kali setiap basuhan dengan berpegang dengan hadis perlakuan Rasulullah yang membasuh 3 kali setiap kali mengambil wuduk. Walaupun tidak pernah dinyatakan, namun perlakuan Rasullah cukup untuk menjadi Sunnahnya.

- Hadith At-Taqhriri. Iaitu bentuk sikap Rasulullah apabila dirujuk sesuatu permasalahan. Rasulullah tidak memberi ulasan hanya mendiamkan diri. Timbullah ayat As-sukut alamatul ridho. Yang bermaksud diam tandanya setuju. Rasulullah tidak melarang tidak juga menyuruh. Hanya diam tanda membenarkan. Misalnya kisah Khalid Al-Walid yang bertanya mengenai dhab sejenis binatang yang mempunyai jantina 6 bulan sebagai jantan, 6 bulan lagi sebagai betina, tidak minum air melainkan air dari sayur yang dimakannya yang tinggal di padang pasir sama ada halal dimakan ataupun tidak. Rasulullah hanya diam mendengar soalan Khalid tanda membenarkan. 

Ibrah daripada Sirah:

- Nabi ketika makannya, baginda hanya menggunakan 3 jari sahaja. Baginda sama sekali tidak akan makan dan akan berlapar sehingga ada jemaah untuk makan. Cara baginda makan ialah dengan menguyah makanan sehingga habis, kemudian bertanya khabar dengan sahabat-sahabat sebelum mencubit makanan seterusnya. Apa yang boleh di high lightkan di sini ialah Sunnah Rasulullah bukanlah dengan makan 3 jari semata. Mana mungkin kita orang Melayu yang makan nasi, mahupun Mat Saleh yang sejak azali makan menggunakan garfu dan sudu mampu makan dengan 3 jari? Oleh itu, ibrah yang ada di sini ialah sopan santun Rasulullah ketika makan. Itulah ibrahnya!

Sebagai umat Islam kita harus melihat ibrah Rasulullah itu ke dalam skop yang lebih luas. Bukannya dalam sesuatu perkara itu sahaja. Jika terlalu menfokuskan kepada sesuatu perkara, sudah tentulah banyak pula yang ingin dipersoalkan. 

Antara cabaran Sirah sekarang ialah banyak berlakunya inhirat iaitu pemalsuan Sirah. Oleh itu, salah satu cara untuk kita mengenal pasti bahawa tidak terdapat pemalsuan dalam Sirah tersebut ialah ciri ibrah yang dapat diperolehi daripada sesuatu kisah itu yang akan kekal sepanjang zaman tanpa ada keraguan padanya. 

Banyak lagi sebenarnya teks ceramah yang dibentangkan oleh Ustaz. Sudah pasti la tak semua yang dapat aku nyatakan di sini. Kesimpulannya, kita sebagai umat Rasulullah hendaklah mendalami Sirah Rasulullah dengan lebih lagi supaya dengan pengetahuan yang ada kita semakin mengenal hikmah-hikmah tindak tanduk Rasulullah. Selain memang konfem-konfem dapat pahala, ianya lebih mendorong kita untuk istiqamah dalam buat pekerjaan tersebut berbanding dengan orang yang amal semata-mata tapi tidak mengetahui hikmah dan rahsia disebalik perbuatan tersebut. Wallulahua`lam. 

No comments:

Post a Comment